Bagi memperkasakan peradaban dan menerap nilai-nilai positif di kalangan siswa, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Pembangunan Pelajar & Alumni UCYP) dengan kerjasama Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) telah menganjurkan Seminar Peradaban Siswa yang telah dihadiri kira-kira 200 orang pelajar dan ahli akademik di Kampus Utama, Tanjung Lumpur 21 Oktober lalu.
Malaysia sering kali menjadi perhatian kerana keunikan dan kepelbagaian budaya.
Namun, sejak kebelakangan ini, terdapat beberapa isu yang menyentuh tentang keagaaman, perkauman serta adab susila sehingga sering kali dijadikan topik perbualan dan perdebatan di garis masa media sosial.
Seminar Peradaban Siswa merupakan cetusan idea Naib Canselor UCYP, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ahmad Zainuddin. Beliau berpendapat bahawa semua siswa harus didedahkan tentang cara menangani isu-isu serta cabaran semasa dengan bijak. “Adab merupakan pegangan yang utama dalam menyelesaikan segala konflik yang berlaku ketika ini. Seminar sebegini sekali gus mampu memperkukuhkan lagi jati diri dengan peradaban dan nilai-nilai murni yang sedia ada dalam setiap individu”, tambahnya lagi.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Pembangunan Pelajar & Alumni), Asst. Prof. Dr. Azhar Jaafar, seminar ini bertujuan untuk memperkukuhkan peradaban, mengenali serta menghayati nilai-nilai murni dan positif yang kian terhakis terutama di kalangan remaja bergelar siswa.
Untuk itu, inisiatif UCYP dalam merangka seminar ini, dilihat mampu sedikit sebanyak menangkis anasir negatif dari bercambah dalam jiwa siswa dan terus memupuk serta meningkatkan nilai-nilai murni dan adab di kalangan mereka.
Perkongsian sebegini akan sentiasa diadakan bagi memastikan objektif UCYP untuk melahirkan graduan berkualiti yang seimbang dari aspek akademik dan sahsiah diri tercapai.