Lawatan Pendidikan, Teknologi dan Budaya ke Finland yang bermula pada 10 Jun 2025 menandakan satu langkah strategik buat UCYP University dalam memperkukuh kedudukan sebagai institusi pengajian tinggi yang kompetitif di peringkat global. Program ini dianjurkan oleh Arctic Nest Oy Finland dan Airwael Group Malaysia. Penyertaan UCYP University dalam program ini adalah sejajar dengan aspirasi Yayasan Pahang dan Pelan Strategik UCYP dalam memperkukuh keterlihatan universiti di peringkat global, meningkatkan kualiti pendidikan yang ditawarkan sekali gus meningkatkan kehadiran pelajar antarabangsa melalui kolaborasi akademik dan pertukaran mobiliti pelajar.
Delegasi UCYP University diketuai oleh Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Muhammad Fauzi bin Mohd Zain, diiringi oleh Puan Suhaila binti Hj. Mukhtar, Penolong Naib Canselor (Penjenamaan, Komunikasi & Diplomasi Korporat) merangkap Dekan Sekolah Pascasiswazah, serta Puan Farah Adiba binti Kamaruddin, Ketua Jabatan Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Fakulti Pendidikan dan Pengajian Am, UCYP University.
Lawatan hari pertama dimulakan di bandar Kajaani, Finland, dengan kunjungan ke Centre for Measurement and Information Systems (CEMIS). Pertemuan dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Pengarah Kajaani University Consortium, Prof. Vesa Virtanen. Taklimat diteruskan dengan penerangan tentang LUMI Supercomputer yang merupakan salah satu sistem komputer terpantas di dunia. Seterusnya, adalah perkongsian oleh Dr. Hanna Huotari, Education Planner, Regional Innovative Education Solutions tentang Pembelajaran Sepanjang Hayat. Dr. Jay Oña, penyelidik projek yang berasal dari Filipina yang bertugas di Measurement Technology Unit turut berkongsi pengalaman beliau melanjutkan pengajian dan bekerja di Finland. Sementara itu, Prof. Jarmo Hietanen, Pengurus Projek di Measurement Technology Unit mengakhiri sesi taklimat dengan need-based project research yang memperkenalkan pendekatan penyelidikan berdasarkan keperluan. Lawatan ke makmal oleh pasukan CEMIS melengkapkan sesi pagi tersebut dengan pendedahan teknologi terkini yang memberi inspirasi kepada perancangan akademik dan penyelidikan UCYP University pada masa akan datang.
Seterusnya, di sebelah petang, lawatan diteruskan ke Kajaani University of Applied Sciences (KAMK) untuk meneroka model pendidikan tinggi berasaskan aplikasi yang menjadi kekuatan negara Finland. Institusi ini terkenal ekoran pendekatan yang diambil adalah berorientasikan amali, industri dan keperluan sebenar pasaran kerja, berbeza daripada universiti akademik tradisional. Lawatan ini disambut oleh Dr. Matti Sarén, Rektor merangkap Ketua Pegawai Eksekutif KAMK. Perbincangan antara kedua-dua institusi membuka potensi kerjasama dalam bidang teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) di samping penekanan terhadap industri kreatif melalui elemen keusahawanan dan kerjaya. Delegasi turut berpeluang melihat lebih dekat lagi formula inovatif KAMK melalui integrasi fakulti yang dilaksanakan yang menjadikan KAMK sebagai universiti pertama di Finland dalam kategori Applied Sciences (Sains Gunaan).
Menutup hari pertama, delegasi menghadiri majlis makan malam yang dianjurkan oleh pihak KAMK. Dalam majlis ini, Letter of Intent (LOI) turut ditandatangani antara UCYP University dan KAMK sebagai simbol permulaan hubungan rasmi antara kedua-dua institusi. Mewakili setiap institusi ialah Profesor Dato’ Dr. Muhammad Fauzi bin Mohd Zain, Naib Canselor UCYP University dan Dr. Matti Sarén, Rektor KAMK. Persetujuan ini menekankan kerjasama dalam beberapa bidang utama termasuk teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) dan pendidikan awal kanak-kanak.
Penganjuran program ini bukan sahaja menjadi jambatan kepada pemindahan pengetahuan dan teknologi antara Malaysia dan Finland, malah turut berperanan dalam menyokong pembangunan kurikulum pendidikan di UCYP University agar lebih menyeluruh dan relevan dengan keperluan semasa. Selain itu, usaha ini turut menjurus kepada pencapaian matlamat strategik universiti dalam meningkatkan daya saing serta kedudukannya di peringkat antarabangsa. Pengalaman dan pendedahan yang diperoleh menerusi lawatan ini akan menjadi nilai tambah yang signifikan dalam memperkasakan potensi warga UCYP University di pentas global.






Lawatan ke Centre for Measurement and Information Systems (CEMIS), Kajaani, Finland



Lawatan ke Kajaani University of Applied Sciences (KAMK)




Persetujuan menandatangani Letter of Intent (LOI) antara UCYP University dan Kajaani University of Applied Sciences (KAMK) dalam majlis makan malam anjuran KAMK bersama delegasi