Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan UCYP University telah memeterai Memorandum Perjanjian Kerjasama (MoA) bagi memperkukuh kerjasama akademik dalam bidang pendidikan tinggi. Majlis menandatangani MoA ini berlangsung pada 15 Januari 2025 di Fakulti Pengajian Bahasa Utama, USIM, menandakan satu lagi langkah strategik dalam memperkasakan penawaran program akademik yang berkualiti.
MoA ini telah ditandatangani oleh Prof. Dato’ Dr. Muhammad Fauzi bin Mohd Zain, Naib Canselor UCYP University, dan Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Naib Canselor USIM, sebagai simbolik komitmen kedua-dua institusi dalam membangunkan peluang pendidikan yang lebih luas dan berdaya saing. Turut hadir dalam majlis bersejarah ini ialah Prof. Dato’ Dr. Nik Salida Suhaila Nik Saleh, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USIM, serta Encik Khairul Hidayat bin Abdul Manan, Pengurus Kanan Pejabat Pembangunan, Pengurusan Aset & Fasiliti KYP Education Sdn. Bhd. (KESB).
Melalui kerjasama ini, USIM akan menawarkan Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (Pendidikan Islam) secara pesisir dengan kemudahan pembelajaran yang disediakan oleh UCYP University. Inisiatif ini bukan sahaja memperluaskan akses kepada program pendidikan Islam berkualiti tinggi, tetapi juga membolehkan pelajar memperoleh pengalaman pembelajaran dalam persekitaran yang kondusif dan menyokong perkembangan akademik mereka.
Kerjasama ini diharapkan menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif akademik antara kedua-dua universiti dalam usaha memperkayakan pengalaman pembelajaran pelajar serta memperkukuh hubungan institusi pengajian tinggi di Malaysia. Dengan komitmen bersama ini, UCYP University dan USIM terus komited dalam melahirkan graduan yang berdaya saing serta mampu memberi impak positif kepada masyarakat dan industri.
Ucapan daripada Prof. Dato’ Dr. Muhammad Fauzi bin Mohd Zain, Naib Canselor UCYP University (kiri), dan Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Naib Canselor USIM (kanan)
Sesi Memorandum Perjanjian Kerjasama (MoA) dan pertukaran dokumen antara Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan UCYP University