28 Julai 2021 – Satu majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara UCYP dan UNPRI telah berlangsung menerusi aplikasi ZOOM pada 28 Julai 2021 dengan kehadiran seramai 50 orang secara dalam talian.
Majlis tersebut telah dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pengelola UCYP, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Profesor Dr. Noorul Ainur binti Mohd Nur, Naib Canselor UCYP, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ahmad Haji Zainuddin, Timbalan Rektor bagi Bidang Kerjasama mewakili Rektor Universitas Prima Indonesia (UNPRI), Dr. Ali Napiah Nasution, barisan pengurusan tertinggi UCYP, dekan dan delegasi UNPRI.
Perjanjian Persefahaman itu telah ditandatangani oleh Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ahmad bin Haji Zainuddin dan Dr. Ali Napiah Nasution dengan disaksikan oleh Tan Sri Dato’ Sri Profesor Dr. Noorul Ainur binti Mohd Nur secara dalam talian.
Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ahmad Haji Zainuddin menyatakan bahawa kerjasama yang dilakukan bakal memberikan manfaat kepada kedua-dua institusi pendidikan UCYP & UNPRI selain mengeratkan kerjasama antara dua (2) negara Malaysia-Indonesia dalam bidang pendidikan.
“Antara objektif kerjasama UCYP dan UNPRI adalah merancang pengurusan spesifik bagi kegiatan pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan inovasi, latihan, persidangan dan penerbitan serta sebagai tanggungjawab sosial masyarakat,” jelas Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ahmad Zainuddin ketika ucapannya bersama delegasi UNPRI secara dalam talian.
Dr. Ali Napiah Nasution, Timbalan Rektor bagi Bidang Kerjasama mewakili Rektor Universitas Prima Indonesia (UNPRI) turut merakamkan penghargaan dan mengharapkan agar kerjasama antara UCYP dan UNPRI ini dapat memberikan faedah kepada masyarakat dan kemajuan UNPRI pada masa hadapan.
Dalam majlis tersebut, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Prof. Dr. Noorul Ainur binti Mohd Nur mengalu-alukan kerjasama yang dijalankan antara UCYP dan UNPRI
selain mampu mengeratkan lagi hubungan antara dua (2) negara serumpun terutama dalam sektor pendidikan.
Malahan, beliau turut mencadangkan kepada institusi ini, untuk mengadakan program dual degree selain daripada merancang aktiviti persidangan dan penyelidikan.
Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman Antara University College of Yayasan Pahang (UCYP) & Universitas Prima Indonesia (UNPRI) yang berlangsung secara dalam talian dan dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pengelola UCYP, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Prof. Dr. Noorul Ainur binti Mohd Nur, Naib Canselor UCYP, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ahmad bin Haji Zainuddin dan Dr. Ali Napiah Nasution, Timbalan Rektor bagi Bidang Kerjasama mewakili Rektor Universitas Prima Indonesia (UNPRI).
Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ahmad bin Haji Zainuddin dan Dr. Ali Napiah Nasution memegang dokumen perjanjian persefahaman MoU sambil diperhatikan oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Prof. Dr. Noorul Ainur binti Mohd Nur dan Dr. Tan Li Pin.
Sesi bergambar bersama sebahagian daripada kakitangan UCYP dan delegasi UNPRI.