Pembudayaan keusahawanan merupakan antara fokus utama kerajaan negeri Pahang di mana golongan muda tidak lagi diharapkan untuk mencari pekerjaan namun bertindak sebagai pencipta peluang pekerjaan. Pembudayaan ini perlu dipupuk seawal dari golongan muda seperti pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi serta masyarakat umum. Ini kerana proses pembudayaan tersebut memerlukan jangka masa yang lama serta usaha secara berterusan sebelum dapat membuahkan hasil. Namun dalam melahirkan usahawan baharu ini, mereka juga berdepan dengan pelbagai cabaran terutamanya dalam perkembangan dan evolusi teknologi. Kemajuan teknologi akan meningkatkan keupayaan daya saing dalam perniagaan dan ekonomi sesebuah negara. Penggunaan teknologi seperti perisian dan internet membuka ruang untuk usahawan memasarkan serta mempromosikan perniagaan mereka dari pasaran tempatan ke peringkat global.Teknologi juga dapat membantu usahawan untuk kekal relevan serta menyesuaikan operasi perniagaan mereka selaras dengan perkembangan teknologi dunia. Sehubungan itu, Yayasan Pahang melalui UCYP terpanggil untuk mengadakan satu platform perkongsian ilmu bagi para usahawan baharu dan lama dalam membantu golongan ini agar lebih berjaya dalam perniagaan yang diusahakan dengan bantuan teknologi.

Webinar yang bertajuk Teknologi Pemacu Pembangunan Usahawan ini telah diadakan pada 12 Januari 2022 melalui aplikasi Zoom. Program secara maya ini, berjaya menghimpunkan lebih dari 100 orang usahawan dan wakil-wakil industri. YH Dato’ Dr. Ahmad Shukri Bin Ismail yang merupakan Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Pahang menerusi ucapan perasmian beliau berkata, Yayasan Pahang telah melatih sejumlah lebih 1000 usahawan yang terdiri dari pelbagai bidang. Yayasan Pahang juga ada menawarkan pembiayaan awal bagi usahawan yang ingin berkecimpung dalam perniagaan. Penglibatan dalam bidang keusahawanan ini juga tidak hanya tertumpu kepada keperluan modal perniagaan sahaja namun minat dan komitmen yang tinggi juga perlu ada dalam diri seorang usahawan. Golongan ini perlu sentiasa melengkapkan diri dengan ilmu dan pengetahuan tentang selok-belok perniagaan seperti kemahiran dalam pengurusan kewangan, pentadbiran perniagaan dan pemasaran yang mana ianya sangat membantu golongan ini dalam menentukan hala tuju perniagaan mereka.

Selain itu, pengetahuan dan kemahiran dalam aplikasi teknologi yang bersesuaian dengan perniagaan mampu meningkatkan produktiviti dan kualiti produk dan perkhidmatan yang diusahakan. Oleh yang demikian, penglibatan usahawan dalam program webinar ini sangat penting untuk memastikan keseimbangan di antara kemajuan teknologi dan perniagaan dapat diwujudkan agar usahawan dapat berkembang seiring dengan arus kemajuan teknologi dan kekal berdaya saing di peringkat lokal maupun global.

Sesi webinar ini diteruskan dengan pembentangan dari Tokoh Belia Negara & Pahang 2020 yang juga merupakan Pengasas Hub Usahawan Digital & Smart Belia Malaysia Puan Nurliana Binti Muhammad. Menerusi tajuk perbincangan beliau Memperkasa Pembangunan Usahawan Malaysia melalui Big Data, beliau menekankan kepentingan dalam membangunkan sosio-ekonomi usahawan belia sebagaimana yang dilaksanakan di negara-negara maju. Menurut beliau, pada masa akan datang, aktiviti freelance, Gig ekonomi dan ekonomi berasaskan teknologi akan semakin meningkat. Oleh itu, usahawan belia perlu mempersiapkan diri dengan merancang perniagaan mereka dan menambah ilmu keusahawanan sebagai langkah persediaan untuk 2022 serta akan datang dan program webinar ini boleh membantu dalam merealisasikan agenda tersebut.

Beliau turut memperkenalkan agenda Hub Usahawan yang diasaskan oleh beliau iaitu berkaitan teknologi, inovasi dan k-ekonomi. Hub itu juga membawa Dasar Usahawan Nasional 2030 & Dasar Belia Negara agar Hub Usahawan & Smart Belia Malaysia memberi manfaat kepada golongan belia usahawan di negeri Pahang dan ia turut memfokuskan pembangunan bagi lima golongan sasar iaitu belia yang menganggur, belia luar bandar, belia OKU, orang asli & ibu tunggal muda.

Webinar yang dijalankan melalui dua sesi pagi dan petang berjaya mengumpul lima orang penceramah jemputan dari pelbagai industri yang terdiri dari Encik Munir Ashim Bin Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif / Pengasas GrasiCili Plt., Puan Mazlina Binti Mansor, Pengarah SIRIM Pahang, Encik Mohd Nizam Bin Mohd Nizat, Timbalan Pengarah Program Pembangunan Usahawan MARDI dan Encik Ts. Mohamad Yusman Bin Ammeran, Ketua Bahagian SME TM Malaysia. Penceramah yang dijemput ini merupakan pakar dari sektor korporat / agensi yang banyak terlibat dalam pembangunan usahawan dan teknologi, secara tidak langsung ianya memberi gambaran serta pendedahan yang luas kepada golongan belia..

Sesi perkongsian bersama usahawan belia ini, diakhiri dengan ucapan penutup daripada Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ahmad Hj. Zainuddin, Naib Canselor UCYP. Menerusi ucapan beliau, jumlah usahawan yang berada di Malaysia masih lagi kecil dari populasi negara berbanding negara luar. Seharusnya angka ini perlu ditambah baik sekurangnya melebihi 30 peratus usahawan yang dapat menjana ekonomi negara. Usahawan perlu sentiasa berinovasi dalam menyediakan perkhidmatan, produk, pemasaran dan banyak lagi agar perniagaan yang diusahakan sentiasa mengundang permintaan tinggi. Beliau turut berpuashati dengan program ini kerana secara tidak langsung dapat memberi ruang kepada usahawan muda, belia dan pelajar untuk lebih berinovasi bagi penciptaan produk dan perniagaan baharu.

Ditulis oleh: Farah Hariaty Mohd Shukri

[vc_single_image image=”16954″ img_size=”full”]

Sesi bergambar bersama peserta dan penceramah Webinar Teknologi Pemacu Usahawan

[vc_empty_space]
[vc_single_image image=”16957″ img_size=”full”]

Ucapan perasmian oleh YH Dato’ Dr. Ahmad Shukri Bin Ismail, Ahli Lembaga Pengarah

Yayasan Pahang

[vc_empty_space]
[vc_single_image image=”16960″ img_size=”full”]

Perkongsian bersama En. Munir Ashim Bin Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif /

Pengasas GrasiCili Plt.

[vc_empty_space]
[vc_single_image image=”16963″ img_size=”full”]

Puan Mazlina Bt Mansor, Pengarah SIRIM Pahang menyampaikan perkongsian beliau berkaitan Digital Marketing

[vc_empty_space]
[vc_single_image image=”16966″ img_size=”full”]

Pengasas Hub Usahawan Digital & Smart Belia Malaysia, Puan Nurliana Binti Muhammad dengan perkongsian beliau