Pada 27 April 2022 yang lalu, sambutan Aidilfitri bagi pelajar-pelajar UCYP, KYP dan KYP Advanced Skills yang kurang berkemampuan lebih bermakna dengan sumbangan duit raya daripada Yayasan Tuanku Canselor UCYP. Seramai 140 pelajar yang terpilih, merupakan pelajar dari kumpulan kurang berkemampuan dan B40.
Majlis yang bermakna tersebut telah diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat iaitu Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ahmad Bin Haji Zainuddin, Naib Canselor UCYP, merangkap Penasihat YTC UCYP, Encik Jalaluddin Bin Abdullah, Penasihat YTC UCYP, Puan Nor Sazlina Binti Che Ghazali, Pengurus Besar KESB, Cik Nazatul Niza Binti Nordin, Pengarah Akademik Kolej Yayasan Pahang (KYP), Puan Nani Masnida Binti Nordin wakil kepada Pengurus Besar KYP Advanced Skills, serta barisan pengurusan UCYP dan KYP.
Menerusi ucapan pembukaan oleh Yang Berbahagia Tuan Haji Ahmad Fared Bin Md Din selaku Pengarah YTC UCYP, beliau menjelaskan bahawa Yayasan Tuanku Canselor sangat proaktif dalam merealisasikan objektif penubuhan YTC iaitu untuk meningkatkan akses serta kualiti pendidikan dan pembelajaran pelajar yang berpotensi tinggi namun kurang berkemampuan. Sebagai sebuah badan bukan bersandarkan keuntungan, YTC UCYP juga sentiasa berusaha dan komited dalam membantu golongan pelajar Asnaf dan B40 di seluruh Malaysia termasuklah pelajar dari institusi pengajian tinggi seperti UCYP, KYP serta KYP Advanced Skills. Sumber dana yang terkumpul merupakan hasil sumbangan dari agensi korporat, dan orang perseorangan yang akan dimanfaatkan bagi tujuan kebajikan dan pembangunan pelajar, meningkatkan taraf kemudahan pengajaran dan pembelajaran serta peningkatan kualiti program-program yang ditawarkan terutama di peringkat kumpulan UCYP. Justeru, majlis ini merupakan salah satu inisiatif daripada YTC dalam memberikan yang terbaik untuk kebajikan pelajar UCYP /KYP dan KYP-AS.
Sehubungan itu YTC UCYP sangat menggalakkan pelajar untuk tampil mendapatkan bantuan dan tidak merasa terpinggir dengan situasi mereka, kerana pihak YTC UCYP bersedia untuk memberikan bantuan yang sewajarnya.
Pihak YTC UCYP mengharapkan dengan sumbangan ihsan yang diberikan kepada pelajar ini dapat sedikit sebanyak menceriakan sambutan Syawal yang bakal tiba seterusnya meringankan beban mereka yang memerlukan.
Ditulis oleh: Farah Hariaty Mohd Shukri
Profesor Dato’ Dr. Ahmad Bin Haji Zainuddin menyampaikan ucapan dan pesanan beliau kepada para pelajar
Ucapan Aluan oleh Pengarah Yayasan Tuanku Canselor UCYP, Tuan Haji Ahmad Fared Bin Md Din
Sekitar Majlis Serahan Sumbangan Hari Raya Aidilfitri Bagi
Pelajar Asnaf dan B40 UCYP,KYP & KYP-AS