Yayasan Tuanku Canselor (YTC) UCYP telah menerima sumbangan sebanyak RM 20,000 daripada kerajaan negeri Pahang melalui Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam & Pendidikan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim bin Syed Ahmad di Kampus Utama UCYP, Tanjung Lumpur.
Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh YH Dato’ Dr. Haji Zulkifle bin Haji Ali Al Hafiz, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) yang juga wakil rasmi kepada YB Dato’ Sri Syed Ibrahim bin Syed Ahmad dalam satu majlis ringkas sempena Pelancaran Bulan Infaq YTC UCYP pada 23 Februari 2021.
Dalam satu kenyataan, Naib Canselor UCYP, Profesor Emeritus Dato’ Dr Ahmad bin Haji Zainuddin berkata, YTC UCYP telah berjaya mengumpul sumbangan lebih daripada RM 100,000 kurang daripada satu tahun penubuhannya. Ucapan terima kasih kepada penyumbang dermawan iaitu Yayasan Pahang Plantation Holdings, Bank Rakyat, Planet Mahir, Restoran Sri Kampung and Restoran Jom Makan yang sudi memberi sumbangan.
“Sumbangan yang diberikan ini meliputi pelbagai bentuk termasuk wang tunai dan dan dalam bentuk barangan. Inisiatif yang dilakukan oleh YTC UCYP telah membantu seramai 375 para pelajar dalam kategori asnaf dan B40 pada tahun lalu malah seramai 135 orang daripadanya telah mendapat bantuan makanan percuma melalui program Dapur Kasih dan bantuan kebajikan yang lain”.
“UCYP menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakkil Allallah Sultan Iskandar Al-Haj pada istiadat Konvokesyen tahun 2019 yang menyarankan agar UCYP mengambil inisiatif untuk menubuhkan tabung kebajikan bagi membantu pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan”. Katanya ketika berucap sewaktu pelancaran Bulan Infaq YTC UCYP.
Dalam majlis yang sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) YH. Dato’ Dr. Haji Zulkifle bin Haji Ali Al Hafiz, turut menyeru kepada individu, syarikat-syarikat korporat dan agensi-agensi lain untuk bersama-sama dalam memberikan sumbangan demi memastikan golongan asnaf dan B40 ini tidak ketinggalan dalam mendapatkan pendidikan.
Pengarah Yayasan Tuanku Canselor, Tuan Haji Ahmad Fared bin Mohd Din turut melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada kerajaan negeri Pahang melalui Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam & Pendidikan Negeri Pahang YB Dato’ Sri Syed Ibrahim bin Syed Ahmad atas sumbangan kepada Yayasan Tuanku Canselor UCYP bagi membantu pelajar UCYP.
Penulis : Mohamad Hafiz Ariff
Serahan cek berjumlah RM 20,000 kepada YTC daripada Kerajaan Negeri Pahang melalui Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam & Pendidikan Negeri Pahang oleh wakil rasmi YB Dato’ Sri Syed Ibrahim bin Syed Ahmad, YH Dato’ Dr. Haji Zulkifle bin Haji Ali Al Hafiz kepada Naib Canselor UCYP, Profesor Emeritus Dato’ Dr Ahmad bin Haji Zainuddin
YH Dato’ Dr. Haji Zulkifle bin Haji Ali Al Hafiz, bersama Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ahmad bin Haji Zainuddin dan Tuan Haji Ahmad Fared bin Mohd Din sedang mengimbas kod QR sumbangan ke Yayasan Tuanku Canselor UCYP.
Pengarah Yayasan Tuanku Canselor UCYP, Tuan Haji Ahmad Fared Mohd Din membawa tabung YTC bagi memudahkan sumbangan warga UCYP yang hadir di Majlis Pelancaran Bulan Infaq YTC UCYP.
Sesi bergambar bersama peserta virtual ketika Majlis Pelancaran Bulan Infaq YTC UCYP.